Thursday, March 17, 2011

Fateh..Menggapai Realiti Hadith Baginda saw



Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud; “..Konstantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. rajanya sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera..” (Hadith Riwayat Imam Ahmad).

Begitulah kata-kata baginda saw yang ‘nampak’ dan yakin bahawa suatu hari nanti adanya pemimpin Islam akan menakluki Konstantinople sekalipun ketika itu masih belum ada yang layak menakluk serta ‘pemimpin’ yang disebut baginda saw masih belum dilahirkan ketika itu.

Jika dilihat, umat Islam ketika itu berebut-rebut untuk membebaskan Konstantinople dalam mendapatkan penghormatan yang dijanjikan Allah di dalam hadith tersebut. Namun, kesemua usaha yang dilancarkan gagal. Siapakah sebenarnya pemimpin yang mendapat penghormatan baginda saw melalui kata-kata baginda di dalam hadith? Berapa lamakah kata-kata baginda menjadi realiti dan kenyataan?

Hadirnya insan yang mendapat penghormatan daripada hadith Rasulullah saw menjadi realiti hampir 800 tahun selepasnya di mana dialah ‘Sultan Muhammad al-Fateh’, khalifah ke-7 kerajaan Uthmaniyyah beserta 150,000 orang tenteranya yang berjaya menakluki Konstantinople.

Bersama kita kenali peribadi dan sejarah insan pilihan ini.

Muhammad al-Fateh dilahirkan pada 26 Rejab 835 atau 29 Mac 1432 di Adrianapolis, sempadan Turki-Bulgaria. Ada juga pendapat yang mengatakan beliau dilahirkan pada 30 Mac 1432. Bapanya ialah Sultan Murad II, manakala ibunya pula Huma Hatun, anak perempuan Abd Allah dari Hum.

Dari segi pendidikan, beliau mendapat pendidikan yang sempurna dan menyeluruh dalam semua aspek. Dalam bidang keagamaan, gurunya ialah Syeikh Shamsuddin al-Wali yang dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. Dalam ilmu peperangan pula, beliau diajar tentang teknik peperangan,memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera. Bidang akademik pula, beliau merupakan seorang cendekiawan ulung pada zaman itu di mana beliau fasih bertutur dalam pelbagai bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Turki, Parsi, Serbia dan Hebrew. Dalam aspek politik pula, beliau pernah memangku jawatan khalifah ketika berusia 12 tahun kerana ayahnya, Sultan Murad II bertindak untuk memencilkan diri hanya kerana ingin mendidik beliau dalam aspek kepimpinan.

Dari segi keperibadian Muhammad al-Fateh, beliau merupakan seorang pemimpin yang hebat, warak dan tawaduk selepas Sultan Salahuddin al-Ayyubi, seorang pahlawan dalam Perang Salib dan Sultan Saifuddin Muzaffar al-Qutuz, seorang pahlawan dalam peperangan di Ain Jalut menentang tentera Mongol. Bahkan keperibadian dan sifat-sifat beliau telah diisyaratkan oleh baginda saw dalam hadith. Selain itu, beliau juga seorang sultan yang tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Bahkan beliau sangat cintakan ulama dan sering berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara. Sekalipun bergelar sultan, beliau sangat tawadu’ , semasa membina Benteng Rumeli Hissari, beliau sanggup bersama para pekerja mengangkat batu dan pasir sehinggakan ulama’-ulama’ dan menteri-menteri terpaksa mengikut sama bekerja.

Dalam memerintah, beliau juga menitik-beratkan kekuatan dalaman dan luaran diri dan para tenteranya. Contohnya, para tenteranya dikatakan tidak pernah meninggalkan solat wajib sejak baligh dan separuh daripada mereka tidak pernah meninggalkan solat tahajud sejak baligh, bahkan hanya beliau sajalah yang tidak pernah meninggalkan solat wajib, tahajud dan rawatib sejak baligh sehingga saat beliau menghembuskan nafas terakhir.

Ada pendapat yang menyatakan bahawa belaiu menakluk Konstantinople ketika berumur 21 tahun, juga menyebabkan berakhirnya Empayar Byzantine. Beliau jugalah yang menukarkan nama Konstantinople kepada Islambol yang bermaksud Islam keseluruhannya. Namun nama tersebut telah ditukar oleh Kamal Ataturk kepada Istanbul.

Begitulah jasa dan kehebatan seorang pemimpin Islam yang dikenali Sultan Muhammad al-Fatih yang menakluk Konstantinople yang mana ciri-ciri dan keperibadian beliau telah disebut baginda saw beratus tahun lamanya di dalam hadith. Bahkan seorang sahabat baginda saw, Abu Ayyub al-Ansari pada zaman kerajaan Bani Umaiyyah yang mengikuti perang menentang tentera Rom di Konstantinople ingin jasadnya dikuburkan di tembok Konstantinople kerana beliau ingin sekali mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Konstantinople seperti yang dimaklumkan dalam hadith baginda saw ‘sebaik-baik raja’ dan ‘sebaik-baik tentera’. Begitulah teguhnya iman dan keyakinan seorang sahabat Nabi saw yang ingin benar melihat kebenaran tersebut sekalipun hanya jasad di dalam kubur.

Justeru itu, dalam menghadapi arus perdana kehidupan kini, kita perlulah mendalami dan meneladani sejarah juang dan jihad baginda saw, para sahabat serta tokoh-tokoh Islam yang mencipta nama dan kemenangan dalam meletakkan cita-cita Islam pada kedudukan yang tertinggi.

Friday, March 4, 2011

Pembinaan Keperibadian Anak dari Dua Tahun hingga Baligh

Bahagian 2 : Pembinaan Ibadah

1) Sembahyang
2) Mengikat Hati Anak dengan Masjid
3) Puasa
4) Haji
5) Zakat

Tuesday, March 1, 2011

Pembinaan Keperibadian Anak dari Dua Tahun hingga Baligh

Bahagian 1 : Aqidah
Perkara-perkara penting dalam pembinaan Aqidah anak-anak :

1) Mengajarkan anak kalimah Tawhid

2) Mencintai Allah s.w.t, merasa diawasi-Nya, Memohon pertolongan kepada-Nya
serta beriman kepada qada' dan qadar

3) Mencintai Nabi s.a.w dan keluarga baginda

4) Mendidik keteguhan dalam aqidah dan bersedia berkorban kerananya