Thursday, February 17, 2011

Pendidikan Terhadap Bayi di Awal Kelahiran.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud “Setiap anak sebenarnya dilahirkan di atas fitrah (Islam). Kedua orang tuanyalah yang akan membuatnya menjadi Yahudi, Majusi atau Nasrani”. Begitulah ingatan baginda s.a.w kepada umatnya yang bergelar ibu bapa akan peri pentingnya mendidik anak dengan cara yang dianjurkan Islam agar anak-anak yang lahir itu tumbuh menjadi anak yang soleh dan solehah. Abul Ala’ dalam syairnya ada mengatakan;

“Anak-anak kita akan tumbuh menurut apa yang dibiasakan oleh orang tuanya, Anak tidaklah menjadi tercela oleh akalnya Namun orang-orang dekatnya yang membuatnya hina”.

Kehadiran permata hati yang bergelar anak amat mengembirakan ibu bapanya, apatah lagi anak yang lahir ini merupakan anak pertama buat sepasang suami isteri yang baru berkahwin mahupun telah lama menantikan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri dalam keluarga. Kegembiraan yang dikecapi ini haruslah didahului dengan kesyukuran yang sepenuhnya ke hadrat-Nya dan sebaik-baiknya haruslah dididik serta diasuh anugerah-Nya itu seperti mana yang dianjurkan agama Islam. Antara perkara penting yang diajarkan Islam pada awal kelahiran anak ialah; mengeluarkan zakat fitrah, hak mendapat warisan seperti mana yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w. bersabda, “Jika seorang anak telah lahir, ia mendapatkan hak waris” (Diriwayatkan oleh Abu Dawud).

Kelahiran anak tersebut bukan sahaja disambut kebahagiaan dari anggota keluarganya, bahkan agama Islam juga mengajarkan agar masyarakat setempat mengucapkan salam ucapan kebahagiaan kepada kedua orang tuanya sebagaimana ucapan selamatnya para malaikat Allah yang disampaikan kepada para utusannya yang mulia dan juga kepada Nabi s.a.w seperti firman Allah di dalam surah Ali-Imran:39 yang bermaksud, “Kemudian Malaikat (Jibril) memanggil Zakaria, sedang ia tengah berdiri melakukan solat di mihrab(katanya), sesungguhnya Allah menggembirakan kamu dengan kelahiran (seorang putramu) Yahya, yang membenarkan kalimat (yang datang) dari Allah, menjadi ikutan, menahan diri (dari hawa nafsu) dan seorang Nabi termasuk keturunan orang-orang salih”. Imam Hasan Bashri juga pernah memberikan ucapan selamat seperti berikut, “Semoga Allah menberkahimu di dalam pemberian-Nya dan engkau bersyukur kepada Sang Pemberi, sehingga engkau pun diberi rezeki berupa kebaktiannya hingga ia mencapai usia dewasa”

Selain daripada itu, agama Islam juga menganjurkan agar mengumandangkan azan di telinga kanan dan iqamah di telinga kiri bayi yang baru dilahirkan. Syah Waliyullah dalam Hujjatullah al-Balighah menyatakan antara hikmah mengumandangkan azan dan iqamah di telinga bayi yang baru dilahirkan ialah:

1) Azan merupakan bahagian daripada syiar-syiar Islam
2) Pemberitahuan tentang agama Muhammad s.a.w
3) Mengkhususkan pengumandangan azan pada bayi yang dilahirkan pada bahagian telinganya
4) Di antara manfaat azan adalah membuatkan syaitan lari. Ini kerana syaitan boleh menyakiti bayi sejak awal kelahirannya, sehinggakan ada hadith yang menyebut bahawa bayi boleh meninggal akibat perbuatan syaitan.

Mentahnik anak yang baru dilahirkan juga antara perkara yang dianjurkan Islam, malah Nabi s.a.w. pernah menunjukkan cara mentahnik anak yang baru dilahirkan sebagaimana Anas r.a. menceritakan, “Ketika Ummu Sulaim melahirkan seorang anak laki-laki, ia membawa bayinya bersamaku ke hadapan Rasulullah s.a.w. dengan membawa kurma. Rasulullah s.a.w. yang ketika itu mengenakan mantel dan sedang memberi makan unta milik baginda, kemudian bertanya, ‘apakah kamu membawa kurma?’ Saya menjawab, ‘ya’. Lalu baginda mengambil kurma itu dan memasukkan ke dalam mulut serta mengunyahnya. Kemudian mencampurkannya dengan air liur baginda, lalu menggelembungkan mulut, dan sesudah itu memberikannya kepada sang bayi. Bayi pun kemudian mengencap-ngecapnya. Rasulullah s.a.w. kemudian bersabda, ‘kecintaan kaum Ansar adalah kurma’. Baginda kemudian mentahniknya dan memberinya nama Abdullah. Di kalangan kaum Ansar tidak ada pemuda yang lebih utama dari dia”. (Diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnadnya-3/88)

Seterusnya hari ketujuh kelahiran bayi, agama Islam menganjurkan agar memberi nama kepada bayi tersebut, mencukur rambut bayi, mengadakan aqiqah dan khitan. Dalam memberikan nama kepada bayi, terdapat tiga cara yang baik dalam memilih nama bayi, antaranya;
1) Nama itu diambil dari nama-nama ahli agama, para nabi dan rasul serta hamba-hamba Allah Taala yang salih. Hal ini diniatkan untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala yang mempunyai nama yang luhur dengan cara mencintai mereka dan menghidupkan nama-nama mereka
2) Singkat, ringan diucapkan, mudah dilafazkan dan cepat diingat
3) Mempunyai makna yang baik, sesuai dengan keadaan yang diberi nama serta sesuai pula dengan kelas, agama dan martabatnya

Dalam hal mencukur rambut bayi, Imam Malik meriwayatkan bahawa Fatimah r.a menimbang rambut Hasan dan Husain, begitu juga rambut Ummu Kalthum, lalu menyedekahkan perak seberat rambut tersebut. Ibnu Ishaq juga ada menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah berkata kepada Fatimah ketika melahirkan Hasan, “Wahai Fatimah, cukurlah rambutnya lalu bersedekahlah dengan mengeluarkan perak seberat timbangan rambutnya”. Lalu Fatimah pun menimbangnya, dan ternyata beratnya adalah satu dirham atau kurang sedikit.

Aqiqah juga antara hak yang perlu ditunaikan pada hari ketujuh, atau keempat belas, atau kedua puluh satu. Seperti yang diriwayatkan Thabrani dan Dhiya’ secara marfu’ dari Burairah r.a., “Aqiqah itu disembelihkan pada hari ketujuh, atau keempat belas, atau kedua puluh satu”. Manakala para pengarang kitab Sunan (Ashabus Sunan) meriwayatkan dari Samurah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Setiap anak (yang lahir) tergadai oleh aqiqahnya yang disembelihkan untuknya pada hari ketujuh, lalu diberi nama dan dicukur rambutnya”. Aqiqah untuk anak lelaki ialah dua ekor kambing, manakala untuk anak perempuan satu ekor kambing.

Antara hikmah aqiqah yang dianjurkan oleh agama Islam ini ialah;

a) Ingin memaklumkan secara tidak langsung tentang nasab dan keturunan bayi tersebut.
b) Mengikuti anjuran untuk menjadi dermawan dan mengendalikan diri agar tidak bakhil.
c) Merupakan bentuk pendekatan diri kepada Allah Taala dari bayi yang dilahirkan ke alam dunia.
d) Sebagai penebus gadaian bayi yang dilahirkan itu, kerana ia tergadai oleh aqiqahnya. Dalam kata lain, aqiqah adalah sebagai tebusan dalam melepaskan diri daripada tahanan syaitan dan dari penjaranya sekaligus sebagai penghalang dari hasutan syaitan untuk terus merosakkan masa depan(akhirat) bayi iaitu tempat kekal kembalinya bayi.

Antara perkara yang terakhir dianjurkan agama Islam dalam pendidikan anak yang baru dilahirkan ialah menyusukan bayi sehingga umur dua tahun, seperti mana yang difirmankan Allah Taala dalam surah al-Baqarah:233 yang bermaksud, “Para ibu hendaknya menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh. Iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan”. Perhatian agama Islam terhadap aspek penyusuan anak sejak awal kelahiran sehingga dua tahun genap menunjukkan bahawa pada peringkat ini, bayi yang masih kecil itu bukan sahaja terjaga dari segi kesihatan malahan kejiwaannya. Tambahan lagi, susu ibu juga anugerah dan nikmat Allah Taala kepada bayi kecil menunjukkan betapa Allah Maha Penyayang kepada para hamba-Nya, terutamanya pada anak-anak yang masih kecil dan lemah, yang juga memerlukan kasih-sayang dan perlindungan dari ibunya.

Ibn Sina juga menegaskan tentang peri pentingnya susuan ibu kepada anaknya. Beliau mengatakan, “Adalah satu keharusan untuk menyusui bayi dengan air susu ibunya, kerana penyusuan tersebut sangat bermanfaat untuk menolak penyakit yang menyerangnya”. Amru bin Abdillah pernah berkata kepada isteri yang sedang menyusui anaknya, “Janganlah kau susui anakmu seperti binatang yang menyusui anaknya, yang hanya didorong oleh kasih sayang kepada anak, akan tetapi susuilah anak dengan niat mengharapkan pahala dari Allah dan agar ia hidup melalui susuanmu itu. Mudah-mudahan ia kelak akan mentawhidkan dan menyembah Allah Taala. Jelas di sini, air susu ibu yang menyusukan anak bukan sahaja menghasilkan kesihatan kepada ibu dan bayi susuannya malahan dari sudut kejiwaan bayi yang disusuinya juga tersemai benih yang baik pada diri bayi tersebut seandainya penyusuan itu disertai dengan niat yang baik dan mencari reda Allah, seperti yang diucapkan oleh Amru bin Abdillah kepada isterinya.

Sebagai kesimpulannya, berdasarkan beberapa anjuran dan penekanan Islam kepada umatnya dalam pendidikan anak bermula dari awal kelahirannya menunjukkan peri pentingnya pendidikan yang teratur dan berdisiplin yang telah Islam tekankan sebagai salah satu cara hidup sebagai seorang yang menganut agama Islam sama ada mereka sebagai ibu bapa, anak-anak, masyarakat dan sebagainya. Kesemua aspek ini sebagai cara yang menjamin anak yang dilahirkan membesar dan dijaga dengan baik sejak awal kelahiran sehingga dewasa agar anak yang dianugerahkan-Nya menjadi kemuliaan dalam sesebuah keluarga, bukan menjadi fitnah merosakkan keluarga.