Friday, October 17, 2008

BERMULANYA HARI INI...

Menulis bukan satu benda yang sukar tetapi ia memerlukan masa dan idea
yang bernas dan tersusun dalam menyampaikan perkara utama atau
perkara pokok apabila saja penulis memulakan penulisan.

Beginilah keadaan penulis yang pertama kali membuat keputusan untuk menjadikan penulisan sebagai satu medan dakwah.Sememangnya bagi diri penulis,menyampaikan ilmu melalui penulisan lebih mudah dan selesa daripada melalui pengucapan atau ceramah.Tetapi,inilah cabaran bagi penulis kerana apabila ingin memulakan penulisan sahaja,masa yang panjang amat diperlukan dan yang pastinya keadaan penulis tidaklah tergopoh-gopoh dengan memikirkan benda lain untuk memastikan penulisan ini dapat disiapkan dengan sebaik mungkin.

Sebenarnya,blog ini telah lama didaftarkan tetapi penulis tidak berkesempatan memasukkan input dan koleksi-koleksi yang mungkin boleh dikongsi bersama dengan pembaca blog.Kesedaran ini tercetus apabila penulis melihatkan kesungguhan dan keistiqamahan sahabat-sahabat penulis terutamanya sahabat PKPIM-UIAM menulis blog sebagai wadah dakwah dalam penulisan.Mereka juga seperti penulis sebagai seorang pelajar,yang sememangnya sibuk dengan assignment,presentation,test,quiz dan sebagainya.Malah mereka juga dalam masa yang sama,seorang aktivis,da’ie yang mempunyai amanah dan komitmen masing-masing dalam jemaah.Mereka masih mempunyai masa menulis,mereka juga mempunyai masa untuk menyampaikan ilmu dalam penulisan,bahkan mereka juga tidak terlepas menghadirkan diri dalam kuliah ilmu dan menghadirkan diri dalam usrah,mesyuarat dan sebagainya.

Penulis kagum dengan sahabat-sahabat yang berkorban masa,tenaga dan sebagainya untuk Islam,mereka semestinya berbeza dengan pelajar-pelajar yang tidak mempunyai motif dalam hidup yang dipenuhi dengan hiburan dan suka-ria,mereka mempunyai masa menonton cerita dan drama di kaca television, keluar setiap hujung minggu bersama teman-teman dan sebagainya. Sikap dan keistiqamahan para sahabat PKPIM yang menulis blog ini membuat penulis termotivasi dan terfikir untuk mengikut bersama sahabat-sahabat dalam menjadikan blog ini sebagai salah satu medan dakwah bagi penulis untuk sama-sama belajar,mengajar dan diajar.

Penulis amat mengharapkan agar diri ini dapat dan seterusnya beristiqamah dalam penulisan ini.Sememangnya,jika kita telah mengambil keputusan untuk melakukan dan menerima sesuatu perkara itu,kita bertanggungjawab ke atasnya. Penulis berharap sahabat-sahabat dapat menyokong penulis untuk meneruskan perjuangan ini sehingga ke akhir hayat.

Wallahua’lam

nurmujahidah.uiam.
6.55pm(15 Syawal 1429h/15 Oktober 2008)