Tuesday, February 17, 2009

Khas buat Mujahidah dan Mujahid kecil yang dikasihi



Wahai Mujahid dan Mujahidah kecil,

Kelahiranmu amat mengembirakan ibu ayahmu,
Syukur dipanjat dan bahagianya hati ibu ayahmu dengan kehadiranmu
kerana dikau harapan mereka,menjaga mereka ketika mana mereka sudah tua
dan tiada tempat pergantungan,malah dikaulah satu-satunya anak
yang mendoakan kesejahteraan mereka suatu hari nanti
Tangisan dan gelak tawamu menenangkan hati mereka,
Dikau diasuh dan dididik dengan sepenuh kasih-sayang,
Kecilmu bukanlah bermakna dikau boleh dibiarkan begitu sahaja,
Kecilmu inilah yang bakal menentukan masa depanmu,
Sikapmu,Telatahmu,Akhlakmu,Budi Pekertimu dan Pemikiranmu sebagai seorang
hambaNya yang mempunyai tanggungjawab dan amanah di dunia ini.
Nakalmu itu benar-benar menguji kesabaran dan ketabahan hati ibu ayahmu,
Sungguh mencabar dalam menta’dibkan dirimu yang kecil ini,
Kekadang kemarahan muncul di dalam hati mereka,
Namun ini bukanlah bererti mereka tidak menyayangimu,
mereka mengasihimu,malah kasih sayang mereka kepadamu tidak pernah luntur,
Itulah hakikat yang perlu mereka hadapi demi mendidikmu menjadi
anak yang soleh dan solehah,mereka berkorban apa saja,


Wahai Mujahid dan Mujahidah kecil,

Setiap hari ibu ayahmu berdoa agar dikau menjadi
mujahid yang soleh dan mujahidah solehah,
Dikau jualah bakal menjadi Generasi Salahuddin al-Ayubi
di dalam memperjuangkan Islam
Dikaulah permata hati mereka,di dunia dan akhirat,
Kehidupanmu dewasa kelak bakal membatasi dan menjaga dirimu
dalam menghadapi cabaran hidup duniawi,
Didikan agama sepenuhnya disampaikan dan dicurahkan buatmu,
Moga dirimu terjaga dan mendapat keberkatanNya di dunia mahupun akhirat.

Wahai Mujahid dan Mujahidah kecil,

Inilah harapan yang tinggi daripada ibu ayahmu,
Kehidupan duniawi ini sebagai tanamanmu untuk
mendapatkan hasil di akhirat nanti,
Mereka bakal meninggalkanmu,namun apa yang kekal adalah
didikan dan ilmu yang mereka curahkan buat dirimu,
Pertemuan di syurga nanti,pertemuan yang abadi..

SEMOGA KALIAN MENJADI ANAK YANG SOLEH DAN SOLEHAH...

AMIN

Ia ditujukan khusus buat anak-anak saudaraku yang dikasihi dan disayangi.

nurmujahidah.uiam
17 February 09/2.45pm

Wednesday, January 28, 2009

Ini Filem Dakwah

Baru-baru nie, saya terbaca satu ruang yang dikenali 'Tolong Jawab' dalam PancaIndera,18 Januari 09 yang lepas. Topik yang dibincangkan menarik perhatian saya untuk menelitinya dan memberi sedikit ulasan dan pendapat berkaitan topik yang diketengahkan iaitu 'Ini Filem Dakwah'. Filem dakwah yang dikatakan ini bertajuk 'Anu Dalam Botol' yang merupakan filem terbaru terbitan Pengedaran J.A.S. Sdn Bhd milik produser Raja Azmi Raja Sulaiman.

Menurut apa yang ditemu bualkan antara wartawan PancaIndera 'Niezam Abdullah' dengan 'Raja Azmi Raja Sulaiman', filem ini berkisarkan percintaan sejenis (lelaki dengan lelaki) yang mana lelaki ini sanggup mengubah keadaan fizikalnya menjadi seorang perempuan semata-mata kerana cinta terhadap pasangannya itu.Tapi selepas membuat pembedahan, dia ditinggalkan kekasihnya. Akhirnya dia bertaubat dan menjalani hidup normal dan tidak boleh berkahwin sama sekali.Yang tinggal hanya kekesalan dalam hidupnya.

Melihatkan kepada sinopsis filem ini, boleh dikatakan 'Ini Filem Dakwah' yang mana ia memberi pengajaran kepada kita terutamanya bakal penontonnya supaya menjauhkan diri daripada melakukan sesuatu tanpa berfikir akan kesan buruk kepada diri sendiri.

Tapi,bagaimana pula dengan lakonan yang terkandung di dalam filem ini??Bagaimana adegan-adegan yang bakal dipertontonkan nanti?? Menurut kata produser ini, dia akan tonjolkan adegan lelaki itu berasmara di atas katil,bahkan dipertontonkan keseluruhan bagaimana pasangan ini berkasihan sesama mereka. Apabila ditanya pula oleh wartawan PancaIndera, kenapa perlu guna adegan panas sebegitu sedangkan boleh digunakan cara lain untuk menyampaikan mesej itu??Jawab produser ini; kita mesti melihat macam mana pasangan itu berasmara, kalau kita tidak melihatnya,kita tidak akan faham.

Saya amat terkejut melihatkan sinopsis filem yang begini baik tetapi lakonan dan adegan yang bakal dipertontonkan dalam filem ini tidak munasabah dan ia akan memberi kesan yang negatif kepada penonton terutamanya remaja.Kenapa saya berkata begitu?? Apabila melihatkan kepada lakonan dan aksi dalam filem yang dikatakan oleh produser ini,ia amat menjijikkan dan memudaratkan penonton kerana filem ini seolah-olah mengajar penonton cara melakukan adegan sebegini. Ini akan berlaku kerana penonton terutamanya remaja melihat dari sudut keseronokkan akan perbuatan ini daripada melihat kesan daripada perbuatan ini. Bahkan mereka boleh menikmati keseronokkan ini sekalipun tidak berubah bentuk fizikal mereka dan ia tidak memberi kesan yang buruk kepada mereka.

Seterusnya, 'Matlamat Tidak Menghalalkan Cara'. Dalam erti kata lain, saya dapat perhatikan bahawa produser ini ingin menjadikan filemnya sebagai filem dakwah, tetapi cara yang disampaikan itu boleh memudaratkan penonton.Jika dilihat, filem ini banyak menyumbang kepada keburukan daripada manfaat kepada penonton.Secara umumnya,hipotesis yang saya dapat fikirkan iaitu, filem ini lebih kepada membawa kesan yang buruk kerana tidak ada 'proper moral education' untuk ditanam dan disemai kepada setiap penonton.

Sebagai contoh; adegan-adegan yang bakal dilakonkan ini akan memberi kesan kepada kehidupan penontonnya,terutamanya remaja. Ini dapat kita lihat di sekeliling kita,remaja semakin lama semakin hilang rasa malu,bahkan di tempat awam mereka tidak segan silu melakukan maksiat.Kenapa ini boleh terjadi?? Salah satu faktor penyumbang kepada gejala sosial ini ialah kebebasan dan tanpa had dipamerkan cerita-cerita lucah dan seks ini melalui media massa terutamanya televisyen dan pawagam yang mana ia menjadi perkara biasa dan apa yang nak dimalukan jika mereka melakukan adegan di dalam tayangan secara praktikal di hadapan orang awam.

Hakikatnya pengaruh media massa ini merupakan alat yang kuat dalam mempengaruhi pemikiran dan sikap seseorang itu.Cuba kita bayangkan, seandainya cerita dan filem di negara ini dipenuhi dengan lakonan sebegini, bagaimanakah sikap dan adab malahan pemikiran seorang remaja yang bakal menjadi pemimpin negara kelak, yang mana menonton televisyen menjadi kegemaran atau masa mereka dihabiskan dengan menonton televisyen ini??Beginikah cara dalam membentuk generasi muda yang rabbani??

Dari segi tajuk filemnya sangat tidak munasabah dalam konteks ' Ini Filem Dakwah' yang dikatakan produser ini. Saya terfikir kenapa filem ini diberi nama sebegini??Sekalipun ia berkisarkan percintaan kaum sejenis, adakah tiada nama lain yang sesuai??Adakah semata-mata ingin menjadikannya filem yang kontroversi,maka tajuk dan lakonannya itu mesti kontroversi untuk menarik minat masyarakat.

Untuk akhirnya,mungkin apa yang diniatkan oleh produser ini untuk menjadikan filemnya sebagai satu cabang dakwah adalah amat baik dan sangat digalakkan, namun kaedah dan cara penyampaian filem ini harus ditukar kepada bentuk yang mempunyai nilai yang tinggi dan sopan. Lagipun,kesan buruk ini bukan sahaja terjadi kepada penonton filem malahan kepada pelakon yang melakonkan aksi itu.Mungkin di dunia, ia suatu yang menyeronokan yang mana mendapat keuntungan mahupun kepuasan hati, tetapi akhiratnya bagaimana??
Sama-sama kita renungkan..

Wallahua'lam

nurmujahidah.uiam
30/1/09 -1.00am

Monday, January 26, 2009

Untuk Kaum Hawa

Wanita solehah itu aurat dijaga,Pergaulan dipagari, Sifat malu pengikat diri, Seindah hiasan di dunia ini.

Keayuan wanita solehah itu, tidak terletak pada kecantikan wajahnya, Kemanisan anita solehah, tidak terletak pada kemanjaannya, Daya penarik wanita solehah itu,Bukan pada kemanisan bicaranya yang mengoncang iman para muslimin, Dan bukan pula terletak pada kebijaksanaannya bermain lidah, memujuk rayu, Bukan dan tidak sama sekali.

Kepetahan wanita solehah, Bukan pada barang kemas atau perihal orang lain,Tapi pada perjuangannya meningkatkan martabat agama.

Nafsu mengatakan wanita cantik dengan paras rupa yang indah bak permata yang menyeri alam,Akal mengatakan wanita cantik atas kemajuan dan kekebalannya dalam ilmu serta pandai dari segala aspek , Hati menyatakan kecantikan wanita hanya pada akhlaknya, Itupun seandainya hati itu bersih untuk menilai.

Wahai wanita jangan dibangga dengan kecantikan luaran,
Kerna satu hari nanti ianya akan lapuk di telan zaman, Tetapi jaga dan peliharalah kecantikan dalaman , Agar diri ini bersih dan sentiasa mendapat Rahmat Ilahi, Wahai wanita jangan berbangga dengan ilmu duniawi yang kau kuasai , Kerna ada lagi manusia yang lebih berpengetahuan darimu , Wahai wanita jangan pula berdukacita atas kekurangan dirimu, Kerna ada lagi insan yang lebih malang darimu.

Wahai wanita solehah jangan dirisau akan jodohmu, Kerana muslimin yang bijaksana itu tidak akan terpaut pada wanita hanya kerana kecantikannya , Bersyukurlah diatas apa yang ada, Serta berusaha demi keluarga, bangsa dan agama.

Saturday, December 27, 2008

Tahun Baru Maal Hijrah…Muhasabah Kembali

Genap 29 Desember ini bersamaan I Maal Hijrah 1430h, tahun baru Hijrah bermula kembali,1429h telah berlalu. Masa berlalu dengan pantas , umur semakin meningkat, panggilan kematian semakin menghampiri,entah bila,di mana,bagaimana kematian menjemput dan mendatangi kita.

Tahun baru ini juga sebagai permulaan bagi mahasiswa dan mahasiswi terutamanya penuntut UIAM Gombak yang sebelum ini bercuti lebih sebulan. Kembalinya kita ke UIAM menjalani rutin harian sebagai seorang mahasiswa yang mengembara di Taman Ilmu dan Budi ini. Sejenak diri ini terfikir dan terkenang akan masa yang lalu yang tidak mungkin kembali lagi.

Siapakah diriku hari-hari yang lepas?Adakah diriku hanya melaksanakan tugas sebagai hamba di dunia ini? Bagaimana dengan tugas sebagai khalifah?Adakah diri ini melaksanakan tugas dan amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi ini atau sekadar merancang dan berkata-kata tanpa melaksanakannya? Sebanyak manakah yang telah diri ini korbankan untuk Islam?Layakkah diri ini menjadi umat Nabi Muhammad s.a.w sepanjang masa yang lalu?

Allah sering mengingatkan kita, ‘Demi masa,sesungguhnya manusia dalam kerugian,melainkan orang yang beriman dan beramal soleh,serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran’

Inilah hakikatnya, kehidupan di dunia ini tidak akan bermakna dan sempurna melainkan ia diiringi dengan keimanan dan amal kebajikan setiap masa dan ketika. Sememangnya semua ini memerlukan pengorbanan,kesetiaan malah keistiqamahan kita kepada agama Islam. Allah juga mengingatkan kita, ‘wahai orang-orang yang beriman, adakah kamu ini mengakui sebagai orang beriman sedangkan dirimu tidak diuji’. Syukur kepadaNya dengan kemuncak kesyukuran di atas segala nikmat terutamanya memasukkan kita di dalam golongan Islam yang mana Al-Quran dan Sunnah sentiasa memberi jalan dan panduan dalam setiap kehidupan kita.Inilah kekuatan orang Islam yang dianugerahkan Al-Quran dan Sunnah sebagai petunjuk.

Sama-samalah kita saling ingat-mengingati, sekalipun kita sebagai pelajar,pekerja,suami,pemimpin atau yang dipimpin, kita tetap seorang Muslim yang belajar dan mempraktikkan Islam bagaikan budaya dalam kehidupan.Maka,kita tidak akan terlepas daripada tanggungjawab dan amanah dalam melaksanakan amal soleh seperti yang dimaklumkan di dalam Al-Quran.

Begitu juga mahasiswa dan mahasiswi, kedatangan tahun baru ini bukanlah semata-mata menjalani rutin harian sebagai pelajar yang hanya hadir ke kelas, kantin, tv, tidur menjadi budaya hidup mereka,tetapi sepatutnya kedatangan tahun baru ini sebagai pembaik pulih dan peningkatan amal soleh kita untuk Islam setelah kita muhasabah kembali betapa jauhnya kita dalam melakukan amal soleh pada waktu yang lepas.Malah,kedatangan tahun baru ini perlu dijadikan anjakan paradigma seorang mahasiswa yang bukan sahaja rutin hariannya sebagai pelajar tetapi berbakti kepada diri sendiri dan masyarakat sekeliling.

Muhasabah kembali kejadian yang lalu amat penting untuk kita perbaiki dan mempertingkatkan kebaikan pada tahun baru. Semoga kehadiran 1430h merupakan tahun yang lebih baik dan terancang daripada tahun sebelumnya,seterusnya meningkatkan amal soleh kita sebagai seorang Hamba dan Khalifah Allah di muka bumi ini.

Wallahua’lam

nurmujahidahuaim
(11.00pm-27 December 2008/29 Zulhijjah 1429h)