Tuesday, June 28, 2011

Berlindung di ‘Puncak Mahligai’

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my

PASIR MAS 27 Jun – Mat Zain Yaacob, 64, yang dilahirkan dalam keluarga miskin dan yatim sejak dari kecil, merasakan hidupnya tidak akan sempurna jika tidak ‘memberi semula’ kepada mereka yang senasib dengannya.

Ahli perniagaan yang memiliki kedai gambar dan percetakan kad perkahwinan di bandar Pasir Mas ini, amat memahami betapa peritnya hidup dalam kemiskinan terutama bagi golongan remaja yang sedang mengikuti alam persekolahan.

Beliau tahu, situasi belajar dengan perut kosong dan tanpa sokongan menjadi antara sebab ramai anak-anak dari keluarga miskin terkandas dalam pelajaran dan tidak mendapat peluang serupa dengan rakan mereka yang lebih berkemampuan.

Atas dasar itulah beliau mewakafkan tingkat atas daripada rumah tiga tingkat miliknya di Seksyen 3, bandar Pasir Mas bersebelahan Ma’ahad Muhammadi Pasir Mas, sebagai asrama pelajar perempuan dari keluarga kurang berkemampuan sejak 2007.

Tingkat atas seluas 223 meter persegi itu yang digelar ‘Puncak Mahligai’ boleh menempatkan sehingga 20 pelajar pada satu-satu masa dan lengkap dengan pelbagai kemudahan asas yang disediakan daripada duit poket Mat Zain sendiri dan juga sumbangan dermawan lain.

“Saya sudah niat, jika ada rezeki lebih dan tanah yang sesuai saya akan bina sebuah rumah tiga tingkat yang mana bahagian atasnya saya khaskan sebagai tempat tinggal percuma untuk pelajar yang kurang bernasib baik.

“Saya mula merancang membina rumah ini sejak 10 tahun lalu, sebelum ini saya dan keluarga hanya ‘berumah’ di kedai gambar kami, jadi bila membina kediaman sendiri saya mahu kongsikan rezeki yang Allah beri dengan orang lain.

“Syukurlah saya dapat membeli sebidang tanah berharga RM20,000 berdekatan dengan sekolah yang boleh menjadi lokasi sesuai sebagai penginapan pelajar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mat Zain mengingati bagaimana susah hidupnya dahulu apabila ayahnya, Yaacob Samoh meninggal dunia saat dia dan adik-beradiknya yang lain masih belum mengerti dengan sepak terajang dunia.

“Kami sekeluarga ketika itu tinggal di Kampung Repek dan menyara hidup dengan membanting tulang di sawah padi, apabila ayah saya meninggal, kami adik-beradik seramai enam orang terpaksa bergantung kepada ibu, Aisyah Samer.

“Ibu saya berseorangan mengerah keringat di sawah, namun yang penting baginya ketika itu adalah memastikan kami dapat makan dan mengenal huruf seperti orang lain,” katanya.

Mat Zain yang merupakan anak ketiga dalam keluarganya berkata, ibunya yang meninggal dunia 10 tahun lalu pada usia 80 tahun, menempatkannya di Pondok Kubang Pak Amin, Pasir Mas yang mana setiap hari beliau akan mengayuh basikal lebih 40 kilometer dari pondok ke sekolah agama di Pasir Pekan bagi menuntut ilmu.

“Ketika itu saya tinggal di pondok secara percuma dan tidak perlu membayar sewa apa-apa, ia umpama asrama bagi pelajar miskin, tempat kami menumpang teduh yang lebih selesa sedikit daripada rumah sendiri.

“Saya belajar sehingga peringkat darjah enam sekolah Arab dan berhenti pada usia belasan tahun,” katanya.

Demi menampung kehidupannya, Mat Zain belajar mengambil gambar daripada seorang mata-mata gelap pencen bernama Che Haron yang mengajarnya selok-belok penggunaan kamera.

“Sejak dari zaman sekolah lagi saya akan keluar mengikut Che Haron ‘memikul kamera’ mengambil gambar di seluruh daerah Pasir Mas dan kawasan sekitar.

“Kamera ‘board’ pertama yang saya beli adalah daripada jenis Yasika dengan harga RM50 hasil daripada simpanan sendiri dan juga sumbangan ikhlas kawan-kawan rapat,” katanya.

Bermula daripada situlah Mat Zain mula dikenali dengan nama ‘Zain Foto’ dan telah memberanikan diri menyewa sebuah kedai di pekan Pasir Mas untuk perkembangan perniagaan fotonya pada usia 25 tahun.

Sejak itu, beliau tidak menoleh ke belakang dan akhirnya memiliki kedai sendiri yang turut menjadi tempat dia membesarkan kesembilan orang anak yang kesemuanya memiliki pendidikan tahap diploma dan ijazah.

Anak-anak hasil daripada perkahwinannya dengan Rokiah Awang Besar, 55, dari usia 23 sehingga 40 tahun kini sudah berjaya dalam karier masing-masing sama ada sebagai pendidik, ahli perniagaan dan kakitangan kerajaan.

Mat Zain juga sangat gembira kerana setakat ini tiga daripada ‘anak-anak’ angkatnya sedang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi.

“Kesemua anak-anak ini membahasakan diri saya sebagai ‘ayah’ dan isteri saya pula ‘ibu’, saya sudah berpesan kepada anak-anak kandung saya agar meneruskan usaha ini meskipun apabila saya sudah tiada nanti.

“Saya berharap semoga apa yang saya lakukan ini dapat menjadi pahala dan bekalan akhirat nanti,” katanya.

(UTUSAN:28 JUN 2011)

4 comments:

nurirsyad said...

tahniah buat ayah akk dan keluarga..:)

Aemy Elyani Mat Zain said...

shukran cik nuriyad:-)pegi muktamar tak hujung minggu ni?lama kita tak jumpa kan?

aosis said...

pakcik kenal abang zain sejak kecil lagi......pakcik tinggal bersebelah pondok Tok Guru Hj Daud Kg.Kbg Pak Amin masa kecil dulu.Masa di pondok dulu pun,dia sudah berjinak-jinak dengan kamera mengambil gambar penduduk kawasan pondok.

jihad4iman said...

kedai masih dua lagi, atau sudah lebih... semoga kedua org tua di rahmati Allah.. kenangan 96-99 pasir mas