'Wahai Orang-Orang yang Beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan Carilah Wasilah (Jalan) untuk Mendekatkan Diri kepadaNya, dan Berjihadlah (Berjuanglah) di-JalanNya, agar kamu beruntung'(5:35)
Thursday, July 9, 2009
Al-Quran,Penyuluh Kepada Kehidupan.
Melihatkan kepada keadaan dan kehidupan pada zaman yang serba moden ini, semakin hari semakin banyak ditubuhkan sekolah atau pusat pengajian yang menekankan sistem menghafaz al-Quran. Itu suatu petanda yang baik dan kesungguhan ibu bapa menghantar anak-anak ke tempat tersebut dengan harapan anak-anak bukan sahaja menjadi anak yang soleh dan solehah, bahkan menjadi hafiz dan hafizoh.
Menghafaz dan menghayati al-Quran sepenuhnya sangat sukar bagi seseorang muslim, hanya golongan yang menjadi pilihan Allah s.w.t. sahaja mampu menghafaz dan menghayati Kalam-Nya yang begitu suci,sempurna dan terjaga sehingga ke tahap pengamalan dalam kehidupan harian. Namun ia tidak mustahil bagi kita untuk berusaha dan berdoa kepadaNya agar diri kita ataupun mungkin pasangan kita,atau anak-anak kita termasuk di dalam golongan ‘Jil al-Quran’ sebagaimana contoh yang dipamerkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam mendidik dan mentarbiyyahkan para sahabatnya r.a mengenali dan menghayati al-Quran sehingga mereka dikenali dengan ‘Generasi al-Quran’, bahkan diri baginda s.a.w juga dikatakan berakhlak al-Quran.
Apakah tips dan kaedah yang boleh memungkinkan kita dalam mendekatkan diri kepada al-Quran yang mana kita bukan sahaja membacanya setiap hari tetapi juga menjadikan ma’na yang terkandung di dalamnya itu sebagai suatu pengamalan kepada kehidupan. Sedikit perkara yang ingin saya kongsikan buat sahabat-sahabat sebagai ingatan dan dorongan untuk diri sendiri serta sahabat-sahabat. Terdapat tiga perkara utama dalam menjaga dan mempersiapkan diri apabila berhadapan dengan al-Quran atau ingin memulakan bacaannya, iaitu:
1) Aqal yang sedar atau dalam bahasa Arabnya ‘Aql al-Wa’i’. Aqal yang sedar ini bermaksud,seseorang yang ingin jadikan al-Quran sebagai sumber tarbiyyah perlulah sedar bahawa al-Quran itu merupakan firman Allah s.w.t yang mana kita seharusnya menjaga adab dan tatatertib apabila membacanya.Contohnya, mendahulukan wudu’ sebelum membaca al-Quran serta membaca dalam keadaan sempurna, suci daripada najis, duduk dengan tenang dan sopan. Abu A’la Mawdudi ada menyatakan bahawa dalam mendekatkan diri dengan al-Quran perlulah membacanya dengan tadabbur. Bagaimana pula membaca al-Quran dengan tadabbur?? Antara caranya mentadabbur al-Quran ialah; sedar dengan sepenuh hati al-Quran ini adalah firman Allah s.w.t. , apabila aqal menyedari akan hakikat itu, aqal yang berada dalam keadaan sedar merendahkan hatinya dan bersikap tawadu’ membaca sehingga boleh terasa dan tersentuh dengan ma’na yang terkandung di dalam al-Quran, dalam masa yang sama juga menjadikan atau menterjemahkan apa yang terkandung pada ayat al-Quran tersebut kepada kehidupan seharian kita. Contohnya; ayat yang menyebutkan batasan muamalat antara muslimah dan muslimin, ayat yang menyatakan pasal aurat muslimat dan sebagainya. Sejauh mana hidup kita ini mengamalkan apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t dan menjauhi laranganNya.
2) Perkara yang kedua iaitu hati yang bersih atau dalam bahasa Arabnya dikenali ‘Qalbu al-Zaki’. Hati yang bersih dan tenang mampu menjadikan al-Quran sebagai pendidik dan petunjuk kepada kehidupannya. Imam al-Ghazali sering menekankan kepada pembersihan hati kerana hidayah dan pimpinan daripada Allah s.w.t sentiasa dekat kepada hati yang bersih. Malah, orang yang hatinya bersih dapat menjauhkan dirinya daripada maksiat seperti maksiat mata (zina mata), maksiat lidah (zina mengumpat, menghasut dan sebagainya), maksiat hati (timbulnya perasaan riak, ujub, angkuh dengan perbuatan baiknya) dan sebagainya. Untuk mencapai hati yang bersih juga memerlukan proses-proses yang tertentu seperti berdoa agar Allah s.w.t. melindungi kita daripada akhlaq mazmumah,muhasabah diri, sentiasa menghadiri majlis ilmu,bersahabat dengan sahabat yang berakhlaq mulia dan sebagainya.
3) Seterusnya pula, ‘Fitrah Salimah’ iaitu kemampuan naluri seseorang berhubung dengan Allah s.w.t atau dalam erti kata yang lain, apabila seseorang itu pada aqalnya sedar dan hatinya bersih, maka timbulnya perasaan seolah-olah dapat berhubung denganNya sehingga segala sesuatu perbuatan dan sikapnya, kita hubungkan dengan Allah s.w.t. Sebagai contohnya; jika suatu musibah besar berlaku ke atas kita, di mana kita telah berdoa dan berusaha sedaya upaya, namun perkara yang tidak kita sukai itu tetap berlaku.Sebagai seorang yang mempunyai ‘Fitrah Salimah’ yang sedar akan segalanya adalah daripada Allah s.w.t. dan Dia berhak untuk menentukan segala sesuatu kepada hambaNya, seterusnya ini mengingatkan dan menghubungkan kita dengan sifat 20 iaitu ‘Qiyamuhu Bi Nafsihi’ iaitu berdiri dengan sendiri, dan juga ‘Kudrat’ Nya ke atas segala sesuatu tanpa dipaksa dan terpaksa. Inilah yang dikatakan ‘Fitrah Salimah’ sehinggakan ia membawa kita kepada menjadi hambaNya yang shukur iaitu bershukur dengan apa yang dikurniakan Allah s.w.t dan juga shakur iaitu tetap bershukur sekalipun tidak mendapat suatu yang diingini dan diimpikan.
Jelas di sini menunjukkan tiga perkara penting yang mungkin boleh kita
renungkan dan hayati bersama dalam mendidik dan mendekatkan diri kepada al-Quran yang bukan sekadar kita membaca,menghafaz malah menjadikannya sebagai amalan dalam kehidupan seharian.Membaca,Menghayati dan Mendarah dagingkan al-Quran dalam hidup adalah lebih baik daripada Menghafaz tanpa dihayati ma’nanya serta tidak terkesan kepada hati pembacanya.
Wallahu’alam
nurmujahidah.uiam
(16 Rejab 1430h/9 Julai 09)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Alhamdulillah
Post a Comment