Seminar Sehari Pengukuhan Pandangan Alam Islam yang julung kalinya bakal diadakan buat masyarakat Islam khususnya para pencinta ilmu.
Apa yang menarik perhatian kita semua, seminar ini menekankan Islamic Worldview atau Tasawwur Islam yang sudah tentunya bermatlamat kepada memberi kefahaman yang jelas dalam kerangka berfikir masyarakat Islam.
Tajuk-tajuk pembentangan yang sememangnya amat menarik dan sangat penting dalam keperluan masyarakat Islam kini, seperti Kerangka Faham Ilmu dalam Islam;Satu Pengenalan Ringkas, Makna dan Matlamat Agama dalam Islam, Adab dan Ta’dib sebagai Asas Pendidikan Islam, Islam dan Falsafah Sains, Pandangan Islam terhadap Tradisi dan Kemodenan dan yang terakhir, Islam dan Cabaran Sekularisasi dan Pembaratan.
Jika dilihat dari aspek kehidupan kita masa kini, penekanan kepada pentingnya ilmu sering disebar luaskan, namun sekadar mana kita memahami hakikat dan takrifan ilmu yang sebenar dalam Islam. Adakah ilmu yang dikatakan ini sekadar ilmu yang bergelar pelajar sahaja atau bagaimana?? Apakah faham ilmu yang kita fahami itu selaras dengan apa yang Islam tekankan??Bagaimana pula konsep dan hakikat pendidikan atau ta’dib yang tepat dengan ajaran Islam?? Bagaimana faham adab dan ta’dib sebagai asas dalam pendidikan Islam dapat dijelmakan melalui tindakan dan amalan harian setiap insan yang bergelar hamba dan khalifahNya??
Dalam memberikan gambaran dan memperkukuhkan penghayatan akan konsep ta’dib masyarakat Islam terutamanya di kalangan ahli PKPIM ini, PKPIM mengagaskan ‘Gagasan Ta’dib Kepemudaan’ yang mana ia adalah salah satu Pandangan Alam Islam yang turut dibentangkan oleh Dr.Mohd Sani Badron di atas tajuk Adab dan Ta'dib sebagai Asas Pendidikan Islam. Kepentingan akan konsep ta’dib ini tidak dapat dinafikan terutamanya apabila konsep ini memberi pemahaman dan penghayatan yang jelas dan seterusnya diterjemahkan dalam kehidupan seharian masyarakat Islam keseluruhannya.
Peningkatan taraf hidup dan cabaran pemikiran juga semakin hari semakin mencabar, malah ada kalanya ia memberi kesan yang cukup hebat bagi masyarakat Islam seolah-olah menduga dan menguji kefahaman mereka tentang tasawwur Islam yang mereka fahami selama ini. Hadirnya golongan liberal dan fanatik agama dan sebagainya ini membawa kekeliruan kepada masyarakat seandainya pandangan alam Islam mereka ini masih kabur. Jelas di sini, kesedaran kepada kerangka berfikir yang sebenar harus didedahkan kepada masyarakat Islam di semua peringkat usia, pangkat dan jantinanya.
Kehadiran Profesor Dr.Syed.Muhammad Naquib al-Attas sebagai penyampai di dalam syarahan perdana pada sesi malam juga amat dinantikan oleh para pencinta ilmu yang jelas dan memahami pemikiran yang ingin dibawa oleh beliau.Tajuk ‘Reviving the Worldview of Islam;Internal and External Challenges’ yang bakal disampaikan dalam bahasa Inggeris ini memberi peluang juga kepada pencinta ilmu dari luar negara yang menuntut ilmu di Malaysia menghadiri syarahan ini.
Justeru itu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan juga Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM) berbesar hati ingin mengadakan seminar sehari Pengukuhan Pandangan Alam Islam dan Syarahan Perdana Profesor Dr.Syed.Muhammad Naquib al-Attas yang akan diadakan pada 13 Disember 2009, Ahad bertempat di Institut Integriti Malaysia (IIM). Sesiapa yang berminat untuk menghadirinya dan ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang seminar ini boleh layari www.pkpim.net.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment