Saturday, September 19, 2009

PKPIM lancar 'Gagasan Ta'dib Kepemudaan'..


Krisis umat hari ini yang memperlihatkan kemelut berpanjangan menampilkan cerminan negatif kepada situasi yang akan berlaku menjelang 30 tahun mendatang. Senario ketidaktentuan masyarakat yang penuh dengan kebejatan dan keruntuhan dari sudut integriti, moral, budi, serta kegagalan mereka menjiwai rukun yang terkandung dalam “akhlaq al-karimah” mendesak kita untuk mencari rencah yang “solid” sebagai jawapan kepada krisis berkenaan.

Sedar atau tidak, persoalan umat yang masih belum terungkai ini telah menuntut generasi muda hari ini untuk menawarkan suatu gagasan baru sebagai alternatif pemulihan kepada krisis berkenaan.

Maka, atas bebanan amanah dan taklifan qiyadah, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah melancarkan “Gagasan Ta’dib Kepemudaan” suatu gagasan yang baru diperkenalkan dalam konteks harakah. Majlis pelancaran “Gagasan Ta’dib Kepemudaan” berkenaan telah disempurnakan oleh Presiden PKPIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz pada 6 September 2009 bersempena dengan program Majlis Iftar Mahabbah (Miftah 09) yang bertempat di Dewan Syarahan Utama, Masjid Negara.

Menurut Prof Syed Naquib Al-Attas, “ta’dib” bermaksud keadaan di mana seseorang kenal tempat letak sesuatu dan akhirnya bertindak berdasarkan pengenalan tersebut. Sebagai contoh pengetahuan seseorang untuk meletakkan Allah pada tempatnya sebagai Tuhan yang Agung dan bertindak berlandaskan pengenalan tersebut dengan mentaati segala perintah Allah.

Faktor krisis hari ini bukan disebabkan kejahilan umat dalam agama memandangkan penyebaran ilmu tentang Islam telah tersebar meluas ke seluruh masyarakat, tetapi kekeliruan mereka dalam meletakkan Ad-din, Allah, Nabi, dan diri mereka di tempat yang sepatutnya seperti mana yang dituntut agama. Maka, gagasan Ta’dib ini adalah merupakan gagasan yang bersesuaian dengan konflik zaman ini bagi memantap dan melangsungkan gagasan Islamisasi pada era 70-an lalu.

Dalam pada itu, pelancaran gagasan berkenaan selaras dengan resolusi yang diputuskan bersama oleh pimpinan PKPIM Pusat dalam Induksi Pimpinan bertarikh 28-30 Ogos 2009 ke arah untuk membentuk suatu generasi yang ideal dan mampu menjadi suri tauladan terbaik kepada umat secara keseluruhan

Dengan bermotokan Meneraju Generasi “Baldatun Thoyyibatun Wa Rabbun Ghafur” gagasan idea besar anak muda ini akan mengambil kira perencanaaan jangka panjang yang meliputi kerangka 25 tahun. Matlamat akhir gagasan ini adalah untuk menjadi medium penerus kesinambungan kepada kebangkitan ledakan ubudiyyah sekitar era 70-an lalu. Atas kapasiti pengalaman beberapa siri dasawarsa,

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM optimis untuk menjelmakan semula fenomena kebangkitan dakwah era 70-an tersebut untuk siri kedua sekiranya seluruh pihak berperanan dan beriltizam bersungguh-sungguh merakyatkan gagasan ini ke seluruh anak muda dan masyarakat kampus. Walau bagaimanapun, gagasan ini masih dalam proses perencanaan dan penyusunan sebelum dirakyatkan ke seluruh generasi pelajar. Justeru, bagi memastikan prinsip dan pelaksanaan gagasan ini bersifat holistik dan integral, maka pandangan dan kritikan membina semua pihak adalah sangat dialu-alukan.

Friday, August 28, 2009

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)- 5 Dasawarsa (1961-2011)



Kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkannnya dengan harga rm22.90,
anda boleh hubungi;

Ukht.Mursyidah 0136282505

Thursday, July 9, 2009

Al-Quran,Penyuluh Kepada Kehidupan.


Melihatkan kepada keadaan dan kehidupan pada zaman yang serba moden ini, semakin hari semakin banyak ditubuhkan sekolah atau pusat pengajian yang menekankan sistem menghafaz al-Quran. Itu suatu petanda yang baik dan kesungguhan ibu bapa menghantar anak-anak ke tempat tersebut dengan harapan anak-anak bukan sahaja menjadi anak yang soleh dan solehah, bahkan menjadi hafiz dan hafizoh.

Menghafaz dan menghayati al-Quran sepenuhnya sangat sukar bagi seseorang muslim, hanya golongan yang menjadi pilihan Allah s.w.t. sahaja mampu menghafaz dan menghayati Kalam-Nya yang begitu suci,sempurna dan terjaga sehingga ke tahap pengamalan dalam kehidupan harian. Namun ia tidak mustahil bagi kita untuk berusaha dan berdoa kepadaNya agar diri kita ataupun mungkin pasangan kita,atau anak-anak kita termasuk di dalam golongan ‘Jil al-Quran’ sebagaimana contoh yang dipamerkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam mendidik dan mentarbiyyahkan para sahabatnya r.a mengenali dan menghayati al-Quran sehingga mereka dikenali dengan ‘Generasi al-Quran’, bahkan diri baginda s.a.w juga dikatakan berakhlak al-Quran.

Apakah tips dan kaedah yang boleh memungkinkan kita dalam mendekatkan diri kepada al-Quran yang mana kita bukan sahaja membacanya setiap hari tetapi juga menjadikan ma’na yang terkandung di dalamnya itu sebagai suatu pengamalan kepada kehidupan. Sedikit perkara yang ingin saya kongsikan buat sahabat-sahabat sebagai ingatan dan dorongan untuk diri sendiri serta sahabat-sahabat. Terdapat tiga perkara utama dalam menjaga dan mempersiapkan diri apabila berhadapan dengan al-Quran atau ingin memulakan bacaannya, iaitu:

1) Aqal yang sedar atau dalam bahasa Arabnya ‘Aql al-Wa’i’. Aqal yang sedar ini bermaksud,seseorang yang ingin jadikan al-Quran sebagai sumber tarbiyyah perlulah sedar bahawa al-Quran itu merupakan firman Allah s.w.t yang mana kita seharusnya menjaga adab dan tatatertib apabila membacanya.Contohnya, mendahulukan wudu’ sebelum membaca al-Quran serta membaca dalam keadaan sempurna, suci daripada najis, duduk dengan tenang dan sopan. Abu A’la Mawdudi ada menyatakan bahawa dalam mendekatkan diri dengan al-Quran perlulah membacanya dengan tadabbur. Bagaimana pula membaca al-Quran dengan tadabbur?? Antara caranya mentadabbur al-Quran ialah; sedar dengan sepenuh hati al-Quran ini adalah firman Allah s.w.t. , apabila aqal menyedari akan hakikat itu, aqal yang berada dalam keadaan sedar merendahkan hatinya dan bersikap tawadu’ membaca sehingga boleh terasa dan tersentuh dengan ma’na yang terkandung di dalam al-Quran, dalam masa yang sama juga menjadikan atau menterjemahkan apa yang terkandung pada ayat al-Quran tersebut kepada kehidupan seharian kita. Contohnya; ayat yang menyebutkan batasan muamalat antara muslimah dan muslimin, ayat yang menyatakan pasal aurat muslimat dan sebagainya. Sejauh mana hidup kita ini mengamalkan apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t dan menjauhi laranganNya.

2) Perkara yang kedua iaitu hati yang bersih atau dalam bahasa Arabnya dikenali ‘Qalbu al-Zaki’. Hati yang bersih dan tenang mampu menjadikan al-Quran sebagai pendidik dan petunjuk kepada kehidupannya. Imam al-Ghazali sering menekankan kepada pembersihan hati kerana hidayah dan pimpinan daripada Allah s.w.t sentiasa dekat kepada hati yang bersih. Malah, orang yang hatinya bersih dapat menjauhkan dirinya daripada maksiat seperti maksiat mata (zina mata), maksiat lidah (zina mengumpat, menghasut dan sebagainya), maksiat hati (timbulnya perasaan riak, ujub, angkuh dengan perbuatan baiknya) dan sebagainya. Untuk mencapai hati yang bersih juga memerlukan proses-proses yang tertentu seperti berdoa agar Allah s.w.t. melindungi kita daripada akhlaq mazmumah,muhasabah diri, sentiasa menghadiri majlis ilmu,bersahabat dengan sahabat yang berakhlaq mulia dan sebagainya.

3) Seterusnya pula, ‘Fitrah Salimah’ iaitu kemampuan naluri seseorang berhubung dengan Allah s.w.t atau dalam erti kata yang lain, apabila seseorang itu pada aqalnya sedar dan hatinya bersih, maka timbulnya perasaan seolah-olah dapat berhubung denganNya sehingga segala sesuatu perbuatan dan sikapnya, kita hubungkan dengan Allah s.w.t. Sebagai contohnya; jika suatu musibah besar berlaku ke atas kita, di mana kita telah berdoa dan berusaha sedaya upaya, namun perkara yang tidak kita sukai itu tetap berlaku.Sebagai seorang yang mempunyai ‘Fitrah Salimah’ yang sedar akan segalanya adalah daripada Allah s.w.t. dan Dia berhak untuk menentukan segala sesuatu kepada hambaNya, seterusnya ini mengingatkan dan menghubungkan kita dengan sifat 20 iaitu ‘Qiyamuhu Bi Nafsihi’ iaitu berdiri dengan sendiri, dan juga ‘Kudrat’ Nya ke atas segala sesuatu tanpa dipaksa dan terpaksa. Inilah yang dikatakan ‘Fitrah Salimah’ sehinggakan ia membawa kita kepada menjadi hambaNya yang shukur iaitu bershukur dengan apa yang dikurniakan Allah s.w.t dan juga shakur iaitu tetap bershukur sekalipun tidak mendapat suatu yang diingini dan diimpikan.

Jelas di sini menunjukkan tiga perkara penting yang mungkin boleh kita
renungkan dan hayati bersama dalam mendidik dan mendekatkan diri kepada al-Quran yang bukan sekadar kita membaca,menghafaz malah menjadikannya sebagai amalan dalam kehidupan seharian.Membaca,Menghayati dan Mendarah dagingkan al-Quran dalam hidup adalah lebih baik daripada Menghafaz tanpa dihayati ma’nanya serta tidak terkesan kepada hati pembacanya.

Wallahu’alam

nurmujahidah.uiam
(16 Rejab 1430h/9 Julai 09)