Showing posts with label Sirah. Show all posts
Showing posts with label Sirah. Show all posts

Thursday, March 17, 2011

Fateh..Menggapai Realiti Hadith Baginda saw



Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud; “..Konstantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. rajanya sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera..” (Hadith Riwayat Imam Ahmad).

Begitulah kata-kata baginda saw yang ‘nampak’ dan yakin bahawa suatu hari nanti adanya pemimpin Islam akan menakluki Konstantinople sekalipun ketika itu masih belum ada yang layak menakluk serta ‘pemimpin’ yang disebut baginda saw masih belum dilahirkan ketika itu.

Jika dilihat, umat Islam ketika itu berebut-rebut untuk membebaskan Konstantinople dalam mendapatkan penghormatan yang dijanjikan Allah di dalam hadith tersebut. Namun, kesemua usaha yang dilancarkan gagal. Siapakah sebenarnya pemimpin yang mendapat penghormatan baginda saw melalui kata-kata baginda di dalam hadith? Berapa lamakah kata-kata baginda menjadi realiti dan kenyataan?

Hadirnya insan yang mendapat penghormatan daripada hadith Rasulullah saw menjadi realiti hampir 800 tahun selepasnya di mana dialah ‘Sultan Muhammad al-Fateh’, khalifah ke-7 kerajaan Uthmaniyyah beserta 150,000 orang tenteranya yang berjaya menakluki Konstantinople.

Bersama kita kenali peribadi dan sejarah insan pilihan ini.

Muhammad al-Fateh dilahirkan pada 26 Rejab 835 atau 29 Mac 1432 di Adrianapolis, sempadan Turki-Bulgaria. Ada juga pendapat yang mengatakan beliau dilahirkan pada 30 Mac 1432. Bapanya ialah Sultan Murad II, manakala ibunya pula Huma Hatun, anak perempuan Abd Allah dari Hum.

Dari segi pendidikan, beliau mendapat pendidikan yang sempurna dan menyeluruh dalam semua aspek. Dalam bidang keagamaan, gurunya ialah Syeikh Shamsuddin al-Wali yang dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. Dalam ilmu peperangan pula, beliau diajar tentang teknik peperangan,memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera. Bidang akademik pula, beliau merupakan seorang cendekiawan ulung pada zaman itu di mana beliau fasih bertutur dalam pelbagai bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Turki, Parsi, Serbia dan Hebrew. Dalam aspek politik pula, beliau pernah memangku jawatan khalifah ketika berusia 12 tahun kerana ayahnya, Sultan Murad II bertindak untuk memencilkan diri hanya kerana ingin mendidik beliau dalam aspek kepimpinan.

Dari segi keperibadian Muhammad al-Fateh, beliau merupakan seorang pemimpin yang hebat, warak dan tawaduk selepas Sultan Salahuddin al-Ayyubi, seorang pahlawan dalam Perang Salib dan Sultan Saifuddin Muzaffar al-Qutuz, seorang pahlawan dalam peperangan di Ain Jalut menentang tentera Mongol. Bahkan keperibadian dan sifat-sifat beliau telah diisyaratkan oleh baginda saw dalam hadith. Selain itu, beliau juga seorang sultan yang tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Bahkan beliau sangat cintakan ulama dan sering berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara. Sekalipun bergelar sultan, beliau sangat tawadu’ , semasa membina Benteng Rumeli Hissari, beliau sanggup bersama para pekerja mengangkat batu dan pasir sehinggakan ulama’-ulama’ dan menteri-menteri terpaksa mengikut sama bekerja.

Dalam memerintah, beliau juga menitik-beratkan kekuatan dalaman dan luaran diri dan para tenteranya. Contohnya, para tenteranya dikatakan tidak pernah meninggalkan solat wajib sejak baligh dan separuh daripada mereka tidak pernah meninggalkan solat tahajud sejak baligh, bahkan hanya beliau sajalah yang tidak pernah meninggalkan solat wajib, tahajud dan rawatib sejak baligh sehingga saat beliau menghembuskan nafas terakhir.

Ada pendapat yang menyatakan bahawa belaiu menakluk Konstantinople ketika berumur 21 tahun, juga menyebabkan berakhirnya Empayar Byzantine. Beliau jugalah yang menukarkan nama Konstantinople kepada Islambol yang bermaksud Islam keseluruhannya. Namun nama tersebut telah ditukar oleh Kamal Ataturk kepada Istanbul.

Begitulah jasa dan kehebatan seorang pemimpin Islam yang dikenali Sultan Muhammad al-Fatih yang menakluk Konstantinople yang mana ciri-ciri dan keperibadian beliau telah disebut baginda saw beratus tahun lamanya di dalam hadith. Bahkan seorang sahabat baginda saw, Abu Ayyub al-Ansari pada zaman kerajaan Bani Umaiyyah yang mengikuti perang menentang tentera Rom di Konstantinople ingin jasadnya dikuburkan di tembok Konstantinople kerana beliau ingin sekali mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Konstantinople seperti yang dimaklumkan dalam hadith baginda saw ‘sebaik-baik raja’ dan ‘sebaik-baik tentera’. Begitulah teguhnya iman dan keyakinan seorang sahabat Nabi saw yang ingin benar melihat kebenaran tersebut sekalipun hanya jasad di dalam kubur.

Justeru itu, dalam menghadapi arus perdana kehidupan kini, kita perlulah mendalami dan meneladani sejarah juang dan jihad baginda saw, para sahabat serta tokoh-tokoh Islam yang mencipta nama dan kemenangan dalam meletakkan cita-cita Islam pada kedudukan yang tertinggi.

Sunday, December 7, 2008

Makna Ibadat Qurban

Tanggal 10 Zulhijjah, suatu tarikh yang amat bermakna dan bersejarah bagi seluruh umat Islam, tak kira di mana jua mereka berada. Tarikh inilah yang membawa kepada suatu nilai pengorbanan seorang hamba kepada Penciptanya sebagai tanda taat, kasih, dan pengabdian seorang hamba. Hari ini dikenali sebagai Hari Raya Qurban atau Eidul Adha, kisah Nabi Ibrahim a.s yang bermimpi menyembelih anaknya, Nabi Ismail, kemudian dibicarakan mimpi itu kepada anaknya, lalu anak yang kecil ini rela dan reda mengorbankan diri sendiri untuk disembelih oleh bapanya, seandainya itu adalah daripada suruhan Allah Taala. Sudah pasti Allah Taala Maha Mengetahui akan keikhlasan yang tersembunyi di dalam hati kedua-dua hamba-nya ini, lalu ketika mana pisau sudah diletakkan di leher Nabi Ismail, tiba-tiba Qibaslah yang terpotong dan menjadi korban, manakala Nabi Ismail terselamat.

Jelas di sini,Qurban telah disyariatkan kepada umat terdahulu bahkan ia juga disyariatkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w di dalam mengingati kembali nikmat Allah kepada Nabi Ibrahim a.s kerana taatnya dan patuhnya kepada Allah Taala, malah dalam bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada-Nya. Sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud :

“Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (qurban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka, makaTuhanmu ialah Tuhan Yang Maha Esa, kerana itu berserah dirilah kamu kepadaNy. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh (kepada Allah” (al-Hajj:34).


Sudah pastinya,jika dilihat kepada makna qurban itu sendiri, dari segi bahasa bererti dekat, mendekatkan diri. Manakala dari segi syaraknya ialah menyembelih haiwan dengan tujuan untuk ibadah kepada Allah S.W.T pada hari raya Eidul Adha iaitu pada 10 Zulhijjah dan dinamakan hari Nahar, dan hari-hari Tasriq pada 11,12,dan 13 Zulhijjah.

Bagaimana pula dengan fadhilat atau kelebihan mengerjakan qurban? Terdapat juga golongan yang anti-Islam menyatakan bahawa qurban yang dilakukan oleh umat Islam ini adalah semata-mata membazirkan duit, tambahan lagi daging binatang yang disembelih itu perlu bahagikan kepada orang lain pula. Malah qurban ini juga membazirkan masa kerana proses melapah, memotong daging dan sebagainya ini memerlukan masa yang lama. Walau bagaimanapun sebagai seorang Islam, tidak patut sekali kita berfikiran sebegitu, dan jangan pula terpengaruh dengan propaganda sebegini, tetapi kita sepatutnya yakin dengan apa yang disyariatkan Allah Taala kepada hamba-Nya adalah yang terbaik bukan sahaja di dunia malah di akhirat.

Di sini akan dibincangkan beberapa hikmah dan fadhilat qurban, antaranya; qurban dapat menghidupkan sunah Nabi Allah Ibrahim a.s sebagaimana yang kita ketahui melalui sejarah pengorbanannya atas dasar cinta dan kasihnya kepada Allah Taala. Seseorang yang lemah iman, dalam masa yang sama kasih dan cinta kepada Penciptanya tidak akan sanggup mengorbankan anak kesayangannya. Sebagaimana Allah Taala pernah menyebut di dalam firmanNya yang bermaksud; “Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untük menjadi harapan” (al-Kahfi:46) .

Selain daripada itu,ibadah qurban juga mendidik jiwa ke arah taqwa,mendekatkan diri kepada Allah, malah ibadah ini juga mengikis sifat tamak dan mewujudkan sifat murah hati mahu berbelanja harta ke jalan Allah Taala. Contohnya, sifat tamak dapat dikikis apabila orang yang mengerjakan qurban itu dapat menghayati dengan sebaiknya betapa tidak ternilai banyaknya rezeki pemberian Allah kepadanya berbanding orang-orang yang tidak mampu. Rezeki kurniaan Allah ini dapatlah dibahagikan dan dikongsi bersama dengan orang yang susah, bahkan ia juga menambahkan rasa syukur seseorang dengan rezeki yang diperolehnya.

Ibadah qurban juga mengeratkan silaturahim sesama manusia terutamanya antara golongan berada dengan golongan yang kurang bernasib baik. Ini dapat kita lihat masyarakat kampung berkumpul dan bergotong-royong melapah daging bersama pada musim hari raya sebegini sahaja,kerana kebiasaannya setiap orang sibuk menguruskan masa masing-masing dengan kerja, mencari wang dan sebagainya tanpa mempunyai masa bertanya khabar jiran tetangga. Hari Raya Qurban antara masa yang terbaik untuk menjalinkan hubungan dan ukhuwah bersama jiran tetangga.

Hakikatnya, ibadah qurban yang disyariatkan Allah Taala bukanlah tiada maknanya seperti yang diungkapkan oleh golongan anti-Islam cuma kita yang kurang ilmu ini tidak ketahui betapa banyaknya fadhilat setiap apa yang disyariatkan Allah termasuklah ibadah qurban. Kita termakan kata-kata dan propaganda palsu daripada mereka yang membenci Islam, kita tidak berusaha membudaya dan menuntut ilmu untuk mengetahui hakikat dan kebenarannya.Oleh itu, sebagai umat Islam yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w, adalah semestinya kita membudayakan ilmu duniawi mahupun ukhrawi dalam memperlengkapkan diri menjadi mukmin yang sejati, yang mengetahui hakikat pengorbanan itu.


AEMY ELYANI MAT ZAIN

HEWI-PKPIM UIAM GOMBAK