Monday, December 15, 2008

Aqidah Dalam Penghidupan Manusia

Aqidah dalam kehidupan manusia...penulis ingin kongsikan sebuah buku ‘Pemurniaan Aqidah Islamiah(Analisis terhadap ajaran salah)’karangan Nawi@Mohd Nawi Haji Ismail yang merupakan seorang pensyarah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya,Nilam Puri.

Apa yang penulis ingin kongsikan di sini ialah mengenai Aqidah dalam kehidupan insan, seperti mana yang sedia maklum setiap agama ada pegangan aqidah dan kepercayaan tersendiri. Begitu juga Islam, agama yang syumul dan indah ini berasaskan 3 komponen penting iaitu aqidah,akhlak dan syariah. Tanpa mengetahui, mendalami dan mengamalkan ketiga-tiga komponen ini,seseorang Muslim yang mendakwa dirinya Muslim itu bukanlah dia Muslim Sejati.

Maka,penulis yakin bahawa pengetahuan dan pemahaman yang sempurna tentang aqidah Islam kepada seseorang Muslim itu dapat menjaga malah melindungi dirinya daripada kecelaruan dan kesangsian dalam memahami aqidah Islamiah yang sebenar, sekalipun datangnya pelbagai pemikiran dan aliran yang songsang.Ini lebih meyakinkan kita lagi melalui hadis yang diriwayatkan oleh Malik Radiallahu ánhu bermaksud; “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda; ‘aku tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu tidak akan tersesat selama-lamanya,selama kamu masih berpegang kepada keduanya iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Rasul-Nya’ ” (Hadis Riwayat Malik)

Makna dan definisi aqidah boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu; takrifan Barat (Western perspective) dan Islamic perspective. Gusteve Lebon yang merupakan salah seorang sarjana Barat yang banyak membuat kajian tentang kepercayaan agama-agama yang wujud di dunia termasuk Islam menyatakan bahawa; aqidah adalah keimanan yang lahir dari suatu sumber yang tidak dapat dirasai, yang memaksa manusia mempercayai sesuatu ketentuan tanpa dalil. Menurut beliau lagi, aqidah itu kadang-kadang sesuai dengan realiti dan ada kalanya tidak sesuai.Manakala Bascal seorang Orientalis Barat pula mendasarkan aqidah kepada perasaan,bukan kepada akal yang mana keistimewaan aqidah mempunyai dua perkara; iaitu;

1) Aqidah mempunyai daya untuk menggerakan amal dan usaha.
Ini menjelaskan bahawa hubungan sebab antara áqidah dan amal’sangat
rapat serapatnya hubungan sebab dan akibat sehingga gerak laku
setiap amalan dan perbuatan itu adalah terjemahan yang tepat kepada aqidahnya.
2) Aqidah mempunyai kekuatan dan kuasa tarikan yang bersifat ghaib.

Seterusnya beralih pula makna aqidah dari segi persektif Islam.
Perkataan aqidah berasal daripada ‘aqada’yang bermakna ‘menyimpulkan’ atau dari perkataan ýa’qidu’yang bermakna ‘mempercayai’. Perkataan ini dikembangkan hingga menjadi áqdan’yang bermakna ‘dipercayai’. Manakala perkataan ‘aqidah’ ialah mufrad dan jamaknya(plural) ialah áqaid’ yang membawa maksud simpulan iman. Menurut Abd Rahman Hanbakah,beliau menyatakan ; ‘apabila tanggapan terhadap sesuatu telah sampai kepada tahap yang boleh menggerakkan kecenderungan dan mengarahkan kelakuan kepada mentauhidkan Allah, itulah dinamakan aqidah’. Selain daripada itu,aqidah juga bermaksud; ‘himpunan perkara-perkara yang benar yang tertanam di dalam jiwa setiap peribadi Muslim melalui akal dan pendengaran secara semula jadi, dan mempercayainya dengan hati;tidak terdapat percanggahan mengenainya serta mempercayai tentang kewujudan pencipta dan hendaklah beriman kepadaNya. Dalam kata lain,aqidah di dalam Islam sentiasa ditujukan kepada asas iman dan tauhid dalam konsepnya yang sebenar,kerana aqidah tauhid ialah satu ikatan perjanjian dan kepercayaan secara total kepada hakikat keesaan dan kekuasaan Allah S.W.T.

Sebagai kesimpulannya daripada penulis,kita dapat lihat pelbagai takrif aqidah sama ada dari sudut Islam mahupun Barat.Jika kita lihat kepada makna aqidah menurut Barat yang dapat kita simpulkan, aqidah adalah wujud dalam diri manusia secara paksa tanpa berdasarkan dalil dan aqidah sentiasa berubah kerana kekadang ia sesuai dengan realiti dan ada kalanya tidak sesuai dengan realiti. Oleh sebab itu,jika kita perhatikan agama Kristian yang berpegang dan mempercayai sesuatu tanpa dalil malahan tidak dapat diterima logik áql,contohnya; penganut Kristian menyatakan Jesus itu Tuhan daripada divine nature(god) dan human nature(Mary),ini tidak dapat diterima áql kerana secara logiknya; anak manusia yang wujud adalah daripada gabungan ibu ayah mereka yang juga manusia.

Selain itu, mereka juga boleh mengubah-ubah aqidah mereka seandainya aqidah itu tidak sesuai dengan masyarakat umum mahupun suasana semasa.Jelas di sini,agama Kristian merupakan agama yang diubah-ubah dan direka-reka oleh penganutnya sekalipun dahulunya agama samawi melalui ajaran Nabi Isa a.s dan kitabnya Injil.Namun, agama Kristian kini bukanlah agama yang tulen dan sepenuhnya daripada wahyu Allah s.w.t.
Berbeza dengan aqidah agama Islam yang syumul dan indah,ia adalah iman yang memerlukan membenarkan (tasdiq) yang pasti yang menepati kenyataan yang lahir daripada dalil dan bukti sama ada dalil naqli dan áqli. Sekalipun umat Islam tidak dapat melihat Allah s.w.t di dunia ini, namun kewujudan dunia dan segala ciptaan ini membuktikan adanya pencipta.Pencipta ini sudah tentu Maha Kuasa mencipta segala yang hebat yang kita dapat lihat dan fikir secara logik adanya pencipta. Semestinya Pencipta ini juga Maha Esa,buktinya melalui dalil naqli dan áqli yang menjadi rujukan kita sebagai umat Islam.Contohnya; daripada surah al-Ikhlas; Allah memberitahu dan mengkhabarkan semuanya kepada umat Islam tentang diriNya.Malah secara logiknya juga,seandainya ada lebih daripada satu Tuhan seperti agama Hindu dan banyak lagi, sudah pasti segala-galanya akan huru-hara.Maklumlah,Tuhan pertama hendakkan itu,Tuhan kedua hendakkan ini,maka bergaduhlah mereka. Sesungguhnya,dapat kita lihat dan simpulkan bagaimana kekuatan aqidah tauhid yang benar dapat menguatkan dan meyakinkan golongan-golongan terdahulu untuk berjuang dan syahid di jalan-Nya,kita juga dapat lihat bagaimana kekuatan aqidah ini meruntuhkan berhala-berhala pada zaman jahiliah,meluaskan empayar Islam dan betapa ramai orang yang memeluk Islam.Bagaimana dengan hari ini?? Aqidah kita agama Islam tetap sama dan tidak pernah berubah tetapi kenapa ramai yang lari dari Islam?Murtad?Kelesuan dalam perjuangan dan jihad?Sama-sama kita fikirkan..

p/s : kepada sesiapa yang ada idea mengenai program atau aktiviti pemantapan aqidah remaja Islam,mohon disampaikan melalui komen.

Wallahua’lam
nurmujahidah.uiam
12.15am(13 December 2008/15 Zulhijjah 1429h)

No comments: