Sunday, December 6, 2009

Seminar Pengukuhan Pandangan Alam Islam & Syarahan Perdana Prof.Syed Muhammad Naquib al-Attas


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM) akan menganjurkan Seminar Sehari Pengukuhan Pandangan Alam Islam dan Syarahan Perdana Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas pada 13 Disember 2009 iaitu pada hari Ahad bermula pukul 8.30 pagi di Institut Integriti Malaysia (IIM), Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Antara objektif seminar ini diadakan adalah untuk menekankan keutamaan pandangan alam Islam dalam kerangka berfikir masyarakat Islam serta memantapkan kefahaman masyarakat, khasnya generasi muda, tentang Pandangan Alam Islam yang sebenar.

Dalam pada itu, PKPIM dalam membawa suatu rencah bagi memulihkan permasalahan umat telah melancarkan “Gagasan Ta’dib Kepemudaan” yang bertujuan untuk membina kembali suatu generasi Islam baru yang ideal dan menjadi suri tauladan kepada semua, yang luhur adab dan keperibadiannya, tinggi disiplin ilmunya, kukuh pegangan tauhidnya serta memiliki nilai integriti dan kepimpinan yang hebat.

Rentetan itu, penganjuran Seminar Sehari Pengukuhan Pandangan Alam Islam dan Syarahan Perdana Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas adalah merupakan satu program induk dan menjadi perintis kepada pelaksanaan program Majlis Tarbiyah dalam memperkasa agenda kefahaman Ta’dib dan pendidikan dalam kalangan masyarakat khususnya generasi pelajar.

Sementara itu, seminar yang akan dianjurkan juga akan diisi dengan tujuh pembentangan kertas kerja oleh beberapa tokoh intelektual terkemuka dalam negara. Antara yang terlibat termasuklah Prof Wan Mohd Nor Wan Daud, Dr Mohd Farid Mohd Shahran, Dr Mohd Sani Badron, Dr Adi Setia Mohd dom, dan sebagainya. Acara kemuncak kepada penganjuran seminar tersebut adalah Syarahan Perdana Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang bertajuk “Reviving The Worldview of Islam: Internal & External Challenges” pada sebelah malam.

Maka, pihak PKPIM menyeru kepada semua pihak khususnya golongan mahasiswa untuk menghadiri seminar ini untuk menyelesaikan permasalahan utama umat memandangkan segala penyelesaian yang ingin dilakukan haruslah bermula dengan usaha memperbetulkan cara berfikir masyarakat Islam terutama yang berhubung dengan ta’dib dan pendidikan yang membentuk alam pemikiran mereka.

Bagi yang berminat, pendaftaran boleh dibuat dengan berhubung terus dengan pihak penganjur Sdr Abdul Muntaqim Zulkifli di talian 019-8285019 atau 03-61842286. Untuk makluman semua juga, yuran seminar yang ditetapkan untuk program tersebut adalah sebanyak RM100 untuk golongan professional dan RM35 untuk golongan pelajar. Namun, bagi yang mahu menghadiri Syarahan Perdana Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas sahaja, bayaran yuran yang dikenakan adalah sebanyak RM50 untuk golongan professional dan RM20 untuk pelajar.

www.pkpim.net

Tuesday, December 1, 2009

Peluang Kepada Pencinta Ilmu

Seminar Sehari Pengukuhan Pandangan Alam Islam yang julung kalinya bakal diadakan buat masyarakat Islam khususnya para pencinta ilmu.

Apa yang menarik perhatian kita semua, seminar ini menekankan Islamic Worldview atau Tasawwur Islam yang sudah tentunya bermatlamat kepada memberi kefahaman yang jelas dalam kerangka berfikir masyarakat Islam.

Tajuk-tajuk pembentangan yang sememangnya amat menarik dan sangat penting dalam keperluan masyarakat Islam kini, seperti Kerangka Faham Ilmu dalam Islam;Satu Pengenalan Ringkas, Makna dan Matlamat Agama dalam Islam, Adab dan Ta’dib sebagai Asas Pendidikan Islam, Islam dan Falsafah Sains, Pandangan Islam terhadap Tradisi dan Kemodenan dan yang terakhir, Islam dan Cabaran Sekularisasi dan Pembaratan.

Jika dilihat dari aspek kehidupan kita masa kini, penekanan kepada pentingnya ilmu sering disebar luaskan, namun sekadar mana kita memahami hakikat dan takrifan ilmu yang sebenar dalam Islam. Adakah ilmu yang dikatakan ini sekadar ilmu yang bergelar pelajar sahaja atau bagaimana?? Apakah faham ilmu yang kita fahami itu selaras dengan apa yang Islam tekankan??Bagaimana pula konsep dan hakikat pendidikan atau ta’dib yang tepat dengan ajaran Islam?? Bagaimana faham adab dan ta’dib sebagai asas dalam pendidikan Islam dapat dijelmakan melalui tindakan dan amalan harian setiap insan yang bergelar hamba dan khalifahNya??

Dalam memberikan gambaran dan memperkukuhkan penghayatan akan konsep ta’dib masyarakat Islam terutamanya di kalangan ahli PKPIM ini, PKPIM mengagaskan ‘Gagasan Ta’dib Kepemudaan’ yang mana ia adalah salah satu Pandangan Alam Islam yang turut dibentangkan oleh Dr.Mohd Sani Badron di atas tajuk Adab dan Ta'dib sebagai Asas Pendidikan Islam. Kepentingan akan konsep ta’dib ini tidak dapat dinafikan terutamanya apabila konsep ini memberi pemahaman dan penghayatan yang jelas dan seterusnya diterjemahkan dalam kehidupan seharian masyarakat Islam keseluruhannya.

Peningkatan taraf hidup dan cabaran pemikiran juga semakin hari semakin mencabar, malah ada kalanya ia memberi kesan yang cukup hebat bagi masyarakat Islam seolah-olah menduga dan menguji kefahaman mereka tentang tasawwur Islam yang mereka fahami selama ini. Hadirnya golongan liberal dan fanatik agama dan sebagainya ini membawa kekeliruan kepada masyarakat seandainya pandangan alam Islam mereka ini masih kabur. Jelas di sini, kesedaran kepada kerangka berfikir yang sebenar harus didedahkan kepada masyarakat Islam di semua peringkat usia, pangkat dan jantinanya.

Kehadiran Profesor Dr.Syed.Muhammad Naquib al-Attas sebagai penyampai di dalam syarahan perdana pada sesi malam juga amat dinantikan oleh para pencinta ilmu yang jelas dan memahami pemikiran yang ingin dibawa oleh beliau.Tajuk ‘Reviving the Worldview of Islam;Internal and External Challenges’ yang bakal disampaikan dalam bahasa Inggeris ini memberi peluang juga kepada pencinta ilmu dari luar negara yang menuntut ilmu di Malaysia menghadiri syarahan ini.

Justeru itu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan juga Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM) berbesar hati ingin mengadakan seminar sehari Pengukuhan Pandangan Alam Islam dan Syarahan Perdana Profesor Dr.Syed.Muhammad Naquib al-Attas yang akan diadakan pada 13 Disember 2009, Ahad bertempat di Institut Integriti Malaysia (IIM). Sesiapa yang berminat untuk menghadirinya dan ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang seminar ini boleh layari www.pkpim.net.

Sekian, terima kasih.

Saturday, September 19, 2009

PKPIM lancar 'Gagasan Ta'dib Kepemudaan'..


Krisis umat hari ini yang memperlihatkan kemelut berpanjangan menampilkan cerminan negatif kepada situasi yang akan berlaku menjelang 30 tahun mendatang. Senario ketidaktentuan masyarakat yang penuh dengan kebejatan dan keruntuhan dari sudut integriti, moral, budi, serta kegagalan mereka menjiwai rukun yang terkandung dalam “akhlaq al-karimah” mendesak kita untuk mencari rencah yang “solid” sebagai jawapan kepada krisis berkenaan.

Sedar atau tidak, persoalan umat yang masih belum terungkai ini telah menuntut generasi muda hari ini untuk menawarkan suatu gagasan baru sebagai alternatif pemulihan kepada krisis berkenaan.

Maka, atas bebanan amanah dan taklifan qiyadah, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah melancarkan “Gagasan Ta’dib Kepemudaan” suatu gagasan yang baru diperkenalkan dalam konteks harakah. Majlis pelancaran “Gagasan Ta’dib Kepemudaan” berkenaan telah disempurnakan oleh Presiden PKPIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz pada 6 September 2009 bersempena dengan program Majlis Iftar Mahabbah (Miftah 09) yang bertempat di Dewan Syarahan Utama, Masjid Negara.

Menurut Prof Syed Naquib Al-Attas, “ta’dib” bermaksud keadaan di mana seseorang kenal tempat letak sesuatu dan akhirnya bertindak berdasarkan pengenalan tersebut. Sebagai contoh pengetahuan seseorang untuk meletakkan Allah pada tempatnya sebagai Tuhan yang Agung dan bertindak berlandaskan pengenalan tersebut dengan mentaati segala perintah Allah.

Faktor krisis hari ini bukan disebabkan kejahilan umat dalam agama memandangkan penyebaran ilmu tentang Islam telah tersebar meluas ke seluruh masyarakat, tetapi kekeliruan mereka dalam meletakkan Ad-din, Allah, Nabi, dan diri mereka di tempat yang sepatutnya seperti mana yang dituntut agama. Maka, gagasan Ta’dib ini adalah merupakan gagasan yang bersesuaian dengan konflik zaman ini bagi memantap dan melangsungkan gagasan Islamisasi pada era 70-an lalu.

Dalam pada itu, pelancaran gagasan berkenaan selaras dengan resolusi yang diputuskan bersama oleh pimpinan PKPIM Pusat dalam Induksi Pimpinan bertarikh 28-30 Ogos 2009 ke arah untuk membentuk suatu generasi yang ideal dan mampu menjadi suri tauladan terbaik kepada umat secara keseluruhan

Dengan bermotokan Meneraju Generasi “Baldatun Thoyyibatun Wa Rabbun Ghafur” gagasan idea besar anak muda ini akan mengambil kira perencanaaan jangka panjang yang meliputi kerangka 25 tahun. Matlamat akhir gagasan ini adalah untuk menjadi medium penerus kesinambungan kepada kebangkitan ledakan ubudiyyah sekitar era 70-an lalu. Atas kapasiti pengalaman beberapa siri dasawarsa,

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM optimis untuk menjelmakan semula fenomena kebangkitan dakwah era 70-an tersebut untuk siri kedua sekiranya seluruh pihak berperanan dan beriltizam bersungguh-sungguh merakyatkan gagasan ini ke seluruh anak muda dan masyarakat kampus. Walau bagaimanapun, gagasan ini masih dalam proses perencanaan dan penyusunan sebelum dirakyatkan ke seluruh generasi pelajar. Justeru, bagi memastikan prinsip dan pelaksanaan gagasan ini bersifat holistik dan integral, maka pandangan dan kritikan membina semua pihak adalah sangat dialu-alukan.

Friday, August 28, 2009

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)- 5 Dasawarsa (1961-2011)



Kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkannnya dengan harga rm22.90,
anda boleh hubungi;

Ukht.Mursyidah 0136282505